KUALA LUMPUR, 14 Okt. — Sultan Kedah, Sultan
Abdul Halim Mu’adzam Shah, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh
Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini hari ini.
Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Disember depan
untuk tempoh lima tahun. Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih
menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan
Pejabat Perdana Menteri.
Ini kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai
Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima
tahun, berakhir 20 September 1975.
Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang
di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat
tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu
dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang. Pemilihan dilakukan mengikut
peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 November
1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958
selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.
Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom
dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai
Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.
Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42,
dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.
Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu
diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. — BERNAMA